Resdung berlaku apabila sinus, iaitu rongga kosong yang terdapat pada tengkorak kepala, tersumbat serta mula dipenuhi lendiran kuning atau kuning kehijauan dan lama kelamaan, Memberi Kesan dan mengganggu saluran Hidung dan menyebabkan kesukaran bernafas.
Menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) yang juga Pakar Kepala dan Leher Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Kong Min Han, resdung yang dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan jangkitan serius kepada penghidapnya.
Ini termasuk risiko jangkitan dalam sinus merebak ke kawasan lain termasuk mata dan otak pesakit resdung.
Bagaimanapun apa yang sering terjadi katanya, rawatan resdung kebiasaannya diabaikan pesakit kerana ia dianggap sebagai selesema biasa sahaja walaupun gejala berulang dan berlarutan berminggu-minggu. Punca resdung kebiasaannya dari bakteria virus, alahan dan struktur sinus.
Ada pesakit katanya, hanya mendapatkan rawatan di hospital ketika resdung sudah semakin serius hingga menyebabkan tekanan pada sinus yang ketara, mata mulai merah, membengkak serta penglihatan kabur.
“Pada peringkat ini pembedahan kecemasan perlu segera dilakukan bagi mengeluarkan nanah dan mengelak jangkitan sinus merebak lebih jauh hingga pesakit kehilangan penglihatan.
“Jangkitan sinus yang serius boleh turut merebak hingga ke otak dan menyebabkan pesakit mengalami sawan dan keradangan otak.
Sumber: BH online